16 November, 2012

Salam Maal Hijrah, Cuti, Peperiksaan dan Keputusan UPSR 2012

Cuti sekolah sudah pun bermula. Ujian dan Peperiksaan sekolah rendah telah pun selesai malah pihak sekolah baru-baru ini telah pun menganjurkan Hari Anugerah Cemerlang bagi mengiktiraf pencapaian murid dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum.

Musim cuti sekolah sebegini, besarlah harapan semoga ibu bapa dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Banyak program ilmiah, kem cuti sekolah dan motivasi yang dianjurkan oleh komuniti, masjid atau pun pihak sekolah. Jangan lepaskan peluang untuk menyertainya.

Tahniah kepada semua pihak yang telah manjayakan Hari Anugerah Cemerlang kali ke-3 yang telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Mahmud Bin Karim, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

Berkenalan dengan Tn. Hj. Mahmud, mengimbau kembali betapa murninya profesion perguruan suatu ketika dahulu. Secara peribadi, saya menganggap beliau sebagai seorang guru mithali yang kini memikul mandat sebagai pemimpin kepada 60,000 orang guru di negeri Selangor.

Apa yang boleh saya simpulkan daripada ucapan beliau semasa majlis tersebut ialah:

1. Murid mesti sentiasa kenang jasa guru, ibu dan bapa. Selalulah ucapkan "terima kasih" kepada mereka. Tanpa mereka, siapalah kita.

2. Ibu dan bapa perlu mengetahui minat dan kecenderungan anak kerana tidak semuanya cemerlang dalam akademik tetapi mungkin cemerlang seni, sukan dan kemahiran. Kini, peluang untuk ke sekolah-sekolah seni, sukan dan kemahiran terbuka luas. Jangan terlalu "memaksa" anak untuk mengejar A dalam akademik semata-mata.

3. Sekali menjadi guru, selamanya guru. Begitulah dalamnya falsafah peribadi untuk menjadi seorang guru berketrampilan yang bukan didorong dengan ganjaran, wang ringgit dan pujian. Didiklah anak bangsa seikhlas mungkin, ROI (return on investment)nya besar di akhirat!

4. Ibu bapa dan komuniti mestilah selalu bekerjasama dan lebih terbuka menangani segala bentuk cabaran dan permasalahan yang mendatang.

Sikap keterbukaan dan jiwa perguruan yang kental yang ditonjolkan oleh Tn. Hj. Mahmud ini perlulah menjadi contoh semua pihak bagi memastikan kecemerlangan sekolah yang kita sayangi ini.

Keputusan UPSR yang bakal diumumkan pada tanggal 19 November 2012 ini, sekali lagi akan menjadi kayu pengukur kejayaan sekolah. Secara tidak langsung ia juga mencerminkan sejauh mana kita sebagai warga pendidik dan ibu bapa bersama-sama komited melunaskan tanggungjawab kita masing-masing terhadap anak dan sekolah.

Salam Maal Hijrah 1434!