12 November, 2013

Selamat bercuti dan terima kasih cikgu...

Menjelang cuti penggal akhir persekolahan, saya mewakili barisan AJK PIBG 2013/14 mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga pendidik SKTPP2. Saya juga mewakili semua ibu bapa yang anak mereka bersekolah di SKTPP2, ucapan jutaan terima kasih di atas dedikasi dan kesabaran cikgu-cikgu mendidik anak-anak kami sepanjang tahun ini.

Sekolah kita telah menempa banyak kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik malah ko-kurikulum dan kami menumpang merasa bangga di atas pencapaian ini. Teruskan usaha dan gigih memartabatkan pendidikan negara! - YDP

6 Baiduri6 Delima6 Intan6 Mutiara6 Nilam6 Zamrud

Kepada semua pelajar tahun 6 yang akan meninggalkan sekolah yang hebat ini, jangan sekali-kali lupakan jasa ibu bapa dan semua guru anda dan sentiasalah bersyukur dengan nikmat yang Allah telah kurniakan. Perjalanan anda sebagai pelajar masih jauh, timbalah ilmu dengan penuh kesungguhan walau di mana sekali pun anda berada kelak.

30 October, 2013

Kita...PIBG Cemerlang Daerah Sepang!

Bukan niat kita untuk bertanding tetapi cuma melaporkan dengan ikhlas dan telus.

Berkat pengurusan cekap, hemat berbelanja dan bijak berkomunikasi, PIBG kita telah diiktiraf sebagai PIBG Cemerlang Daerah Sepang 2013.

Tonton Video PIBG
Muat Turun Video PIBG
Muat Turun Slaid PIBG



Syabas dan tahniah kepada barisan AJK yang berdedikasi serta semua pentadbir, guru-guru dan ibu bapa prihatin yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung di dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan pada tahun ini.

Teruskan usaha, sentiasa memberi dan beraktiviti serta rapatkan silaturrahim...Syabas! - YDP

26 October, 2013

Syabas dan Terima Kasih Daun Keladi..

kepada semua yang telah menjayakan Sukan Tahunan Sekolah baru-baru ini.

Sekalung ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada anda yang telah memberi sumbangan dalam apa jua bentuk. Semoga keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan mendapat keberkatan dariNya dan menjulang nama sekolah kita.

Sukan terbaik yang pernah dianjurkan setakat ini! Hep..Hep.Hooray!




SENARAI PENYUMBANG SUKAN TAHUNAN SKTPP2 2013
1 ADUN DENGKIL CEK RM1000
2 CELCOM CEK RM1000
3 McDonald 200 keping “Be Our Guest” kad RM530
4 EN KHAIRAN KIMIN 2 HAMPER RM200
5 Tiara Mass Shipping & Logistic Sdn. Bhd. TUNAI RM100
6 KARANGKRAF SDN. BHD. Majalah E-Baca 300 naskhah RM300
7 KRT ZON-H TMN PUTRA PERDANA TUNAI RM100
8 Mini Ini Ehsan Enterprise TUNAI RM50
9 EN IDRIS BIN HUSSAIN BASIKAL MTB RM500
10 PN NORHASRATI MOHAMAD 100 KEPING VCD P-RAMLEE RM300
11 EN MOHD FAIZ BIN MAT ISA HADIAH CABUTAN BERTUAH RM300
12 PN HJH CHE MARIA HARUN HADIAH CABUTAN BERTUAH RM1000
13 PN NOR MALA BT MOHD SALIM HADIAH CABUTAN BERTUAH RM200
14 PN NOORALINAH PAIJAN HADIAH CABUTAN BERTUAH RM200
15 PN MAZAMAH BT YEOB HADIAH CABUTAN BERTUAH RM200

Nota: Mohon maaf sekiranya AJK PIBG terlepas pandang atau tersilap mana-mana sumbangan yang sepatutnya perlu direkodkan.

Sila berhubung dengan S/U Cikgu Noraini (014-8021329) atau Bendahari Cikgu Baizura (013-2061880) supaya data boleh dikemaskinikan. Terima kasih - YDP

18 October, 2013

Taklimat Sarana Ibu Bapa Pelajar Tahun 2, 3 dan 4

Cik Abu pergi berniaga,
Menjual kelapa di bulan puasa,
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih bapa sepanjang masa.


Kerana kasihkan anak-anak kita maka tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai anak bersekolah di Tahun 2, 3 dan 4 dijemput untuk menghadiri taklimat Sarana Ibu Bapa yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 19 Oktober 2013 (Sabtu)
Masa : 8.30 - 10.00 pagi
Tempat: Pusat Sumber Sekolah

Banyak tips dan perkongsian pengalaman keibubapaaan yang akan anda perolehi. Jom Pi Sekolah. Jumpa di sana!

24 September, 2013

Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-4

Peperiksaan UPSR baru sahaja berlalu dan ada juga di antara anak-anak kita yang kini sedang menghadapi peperiksaan agama PSRA.

Kita sebagai ibu bapa sudah tentu ada yang resah dan risau mengenainya. Apa yang penting pada tahap ini ialah kita hanya berserah pada yang Esa dan berdoa agar mereka mencapai kejayaan yang cemerlang dari segi akademik.

Tanggal 29 September (Ahad) ini, sekolah akan menganjurkan Sukan Tahunan buat kali ke-4. Kita semua perlu sedar bahawa pembentukan modal insan negara banyak bergantung kepada empat komponen utama; jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Maka, penyertaan anak-anak kita dalam bidang sukan atau aktiviti ko-kurikulum dan ko-akademik juga perlu dititikberatkan. Justeru itu, marilah kita bersama-sama memupuk semangat kesukanan ini dengan datang beramai-ramai ke Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah!

Tarikh: 29 September 2013 (Ahad)
Masa: 7.30 pagi - 1.30 petang
Tempat: Padang Sekolah



Acara sukan pada kali ini akan dimeriahkan lagi dengan gerai-gerai jualan, cabutan bertuah ibu bapa dan pelajar, acara sukan ibu bapa dan banyak lagi. Semarak Sukan Untuk Sekolah!
..YDP

14 August, 2013

Selamat Hari Raya AidilFitri

Di bulan Syawal yang mulia ini, semua AJK PIBG 2013/14 memohon ampun dan maaf kepada semua warga pendidik dan ibu bapa pelajar SKTPP2.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin! Semoga di hari lebaran ini, ikatan silaturrahim di antara kita bertambah erat.

16 May, 2013

Terima kasih, Cikgu!

Guru Malaysia: IAspirasi 1Agenda..PIBG mengucapkan Selamat Hari Guru yang ke-42 kepada semua warga pendidik Sekolah Kebangsaan Putra Perdana 2.

Semoga segala ilmu dan bakti yang telah dicurahkan diberkati Allah sentiasa. Teruskan kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi, diiringi dengan doa semoga cikgu sihat dan tenang menjalankan tugas.

14 May, 2013

Ibu Bapa Pelajar Tahun 1 Yang Prihatin...

Pada 11 Mei yang lalu, lebih daripda 100 orang ibu bapa pelajar Tahun 1 telah menghadiri taklimat berkenaan Sarana dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Semangat dan kegigihan ibu bapa seperti ini perlu di contohi oleh ibu bapa yang lain.
Sesibuk mana sekali pun kita menjalani tugas harian, luangkanlah masa untuk pendidikan anak-anak kita - YDP

09 May, 2013

Jom Pi Sekolah - semua ibu bapa pelajar Tahun 1

Semua ibu bapa pelajar Tahun 1 dijemput menghadiri taklimat Sarana Ibu Bapa dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 11 Mei 2013 (Sabtu)
Masa: 9.00 - 10.30 pagi
Tempat: Pusat Sumber Sekolah


Muafakat membawa berkat, demi kecemerlangan pendidikan anak-anak kita!

08 April, 2013

Jom... Imarah Masjid!

Program Imarah Masjid anjuran Masjid Putra Perdana dan syarikat Karangkraf akan dilangsungkan seperti berikut;

Tarikh: 13 April 2013 (Sabtu)
Masa: 9.00 pagi - 11.00 malam
Tempat: Masjid Putra Perdana, Puchong, Selangor


Pengisian programnya amat sesuai sekali untuk semua golongan ibu bapa dan anak-anak kita. Antara pengisian program yang akan dijalankan adalah seperti berikut:

9.00 pagi - 10.00 pagi Kuiz Bahasa Al-Quran
9.00 pagi - 10.00 pagi Motivasi Santai bersama majalah Fokus SPM: Siaga Diri, Transform Hari Ini
10.00 pagi - 11.00 pagi Syoknya Jawi
11.00 pagi - 12.00 t/hari Motivasi Santai bersama Rafi Jallaluddin: Dulu Pencuci Kini Pengurus
11.00 pagi - 12.00 t/hari Motivasi Santai - Ayah Ibu Sentiasa Di Hati
12.00 t/hari - 1.00 petang Kuiz bersama Majalah e-Baca
12.30 t/hari - 1.00 petang Tazkirah Zohor - Cinta Al-Quran
2.00 petang - 3.00 petang Demo Memasak: Biloa Ustaz Sibuk Di Dapur
3.00 Petang - 4.00 petang Reka Kraf bersama KIDS@prima
4.00 petang - 5.00 petang Sesi Pelancaran & Penyampaian Wakaf Bahan Bacaan
8.30 malam - 11.00 malam Forum Bicara Cinta Anak Muda: Tanpa Allah Siapalah Kita


Disamping itu terdapat juga gerai-gerai jualan kumpulan media karangkraf dengan harga diskaun dan promosi.

Jangan lepaskan peluang untuk menimba ilmu dan beramal.Jom...

YDP

02 April, 2013

Jom Pi Sekolah - Ibu Bapa/Penjaga Pelajar Tahun 6

Satu taklimat khas untuk semua ibu bapa/penjaga pelajar tahun 6 akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 6 April 2013 (Sabtu)
Masa: 2.30-3.30 petang
Tempat: Pusat Sumber Sekolah

Kehadiran tuan/puan akan membantu kecemerlangan anak-anak tuan/puan dan sekolah amnya. Terima kasih.

YDP

27 February, 2013

Anak-anak kita...



Hmm..rupa-rupanya banyak masa anak-anak kita berada di rumah berbanding di sekolah. Kalau begitu, kita sebagai ibu bapa seharusnya melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran anak-anak kita.

Kita perlu menilai penglibatan bersama dengan anak-anak dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu anak kita meraih kejayaan pada masa hadapan. Bukannya serah bulat-bulat kepada pihak sekolah. Bagaimanakah caranya? Datanglah beramai-ramai ke;

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PIBG KALI KE-4
SK TAMAN PUTRA PERDANA
2 MAC 2013
8 PAGI


Muat turun LAPORAN MESYUARAT AGUNG PIBG KE-4
Muat turun PENYATA KEWANGAN PIBG 2012

06 February, 2013

Gong Xi Fa Cai!

Selamat Tahun Baru Cina kepada semua ibu bapa, staf dan murid SKTPP2 berbangsa Tionghua. Semoga tahun ULAR ini menjalinkan perpaduan antara kaum yang lebih erat dan menempa kejayaan berlipat ganda.

04 February, 2013

12 Rabiulawal Tahun Gajah (570M) ...

baginda junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan.

PIBG bersama-sama dengan pihak sekolah dan ketua-ketua komuniti Taman Putra Perdana telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul kali ke-5 dan SKTPP2 menjadi hos buat julung-julung kalinya. Lebih daripada 1,500 orang telah hadir bagi memeriahkan majlis.

Kemeriahan jelas terpancar dengan pelbagai pengisian acara seperti perarakan kontinjen sekolah dan persatuan penduduk, ceramah agama, pameran anti-dadah, bacaan al-Quran, nasyid, qasidah, burdah dan tutur berirama.

Ucapan ribuan terima kasih PIBG kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini.

02 January, 2013

Selamat Tahun Baru 2013!

Barisan AJK PIBG mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua warga pendidik, ibu bapa dan murid SKTPP2. Semoga 2013 ini lebih cemerlang daripada tahun sebelumnya.

Tahun 2012 menyaksikan 20 orang murid kita mendapat 5A dalam UPSR berbanding dengan 14 orang murid pada tahun 2011.Kecemerlangan dalam bidang sukan dan ko-kurikulum 2012 juga telah melonjakkan lagi nama SKTPP2. Tahniah buat semua!

Pada tahun ini, SKTPP2 akan diterajui oleh Guru Besar yang baru menggantikan Cikgu Zohri Bin Saluki. Bersama-samalah kita memberikan sokongan dan kerjasama kepada kepimpinan beliau.

Kepada semua murid tahun 1 2013, selamat menempuh alam persekolahan!

Kepada ibu bapa yang baru menjadi warga SKTPP2, berilah kerjasama dan libatkan diri anda di dalam mana-mana aktiviti anjuran sekolah dan PIBG!
,
Kepada semua guru baru SKTPP2, selamat datang dan curahkanlah bakti dengan seikhlas hati!

Buat julung kalinya, SKTPP2 bersama dengan PIBG akan menjadi hos kepada majlis Sambutan Maulidur Rasul 1434H peringkat Taman Putra Perdana. Majlis yang akan diserikan dengan perarakan, persembahan nasyid dan qasidah serta ceramah ini dijangkakan berlangsung pada 3 Februari 2013. Semua dijemput hadir!

Tanamkan Azam, SELAMAT TAHUN BARU 2013!