25 February, 2014

Selamat bermesyuarat dan selamat mengundi!

Yang Berusaha barisan pentadbir sekolah, Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG, guru-guru yang dikasihi, ibu dan bapa yang saya hormati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera.

Telus dan Ikhlas Bermuafakat adalah slogan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kita yang baru. 2014 merupakan tahun kelima PIBG mengorak langkah bersama-sama dengan pihak sekolah bagi menaikkan imej sekolah dalam pelbagai bidang.

Saban tahun, bermacam-macam permasalahan telah ditangani dengan bijak dan pelbagai cabaran ditempuhi dengan penuh dedikasi.

Berkat pengurusan yang telus dan ikhlas bermuafakat yang ditunjukkan oleh barisan AJK PIBG yang dilantik ini maka PIBG kita telah dinobatkan sebagai PIBG Cemerlang Daerah Sepang 2013 dan antara sepuluh yang terbaik di negeri Selangor.

Bilik PIBG menjadi bukti fizikal kejayaan permuafakatan ini. Kesungguhan AJK PIBG membantu pihak sekolah seharusnya dicontohi oleh ibu bapa yang lain.

Berkat "telus", mengurus segala aktiviti dan kewangan dengan pihak sekolah dan komuniti, banyak agenda akademik, sahsiah dan kokurikulum anak-anak kita berada di tahap cemerlang tahun demi tahun.

Berkat "ikhlas bermuafakat", perkara yang susah menjadi mudah.

Saya berpendapat, PIBG kita sepatutnya mampu melonjak lebih jauh dan lebih tinggi lagi sekiranya setiap seorang daripada kita sebagai ibu atau bapa menanam sikap ambil tahu dan ambil peduli bukan sahaja tentang perkembangan anak kita semata-mata, malah anak orang lain, guru, pentadbir dan persekitaran sekolah yang kita sayangi ini.

PIBG kita mempunyai lebih daripada seribu orang ahli tetapi pengalaman dan rekod kita yang lalu menunjukkan kurang daripada dua puluh peratus menunjukkan kesungguhan, komitmen dan sikap ambil tahu, ambil peduli.

Siapakah guru yang mendidik anak saya?
Siapakah pentadbir sekolah?
Siapakah AJK PIBG yang perlu saya temui untuk berbicara?
Bagaimanakah keadaan kelas anak saya belajar?
Cukupkah bahan bacaan di dalam Pusat Sumber sekolah?
Selesakah tempat guru-guru bekerja?
Berapakah jumlah masa dalam setahun yang lalu saya berada di sekolah?

Sesibuk mana sekali pun, luangkanlah masa kita di sekolah, bersama anak, anak rakan dan jiran kita, guru, pentadbir dan AJK PIBG di dalam segala aktiviti yang dilaksanakan.

Memberi usul dan cadangan memanglah baik dan dialu-alukan tetapi lebih molek membantu untuk melaksanakannya bersama-sama. Katakan, apa yang saya boleh bantu? Apa yang saya boleh bantu?

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua AJK PIBG 2013/14, ibu, bapa dan pihak komuniti yang telah menyumbangkan tenaga dan kewangan sepanjang tahun 2013. Semoga Allah memberkati segala usaha dan sumbangan yang tuan dan puan hulurkan.

Akhir kata, pilihlah calon-calon yang anda fikir sesuai dan komited untuk terus meneraju persatuan kita ini bagi penggal 2014/15, dan berikanlah sokongan dan bantuan anda yang tidak berbelah bagi.

Selamat bermesyuarat.

MOHD FAIZ BIN MAT ISA
Yang Di Pertua
PIBG SKTPP2 2013/14

18 February, 2014

Sesi Teh Tarik 2

Ibu bapa dan guru dijemput ke sesi Teh Tarik 2, berkonsepkan santai sambil berkongsi ilmu yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 22 Februari 2014 (Sabtu)
Tempat: Bilik Mesyuarat SKTPP2
Masa: 10.00 pagi




Sekiranya, nak bawa 'potluck' amatlah dialu-alukan.

YDP

14 February, 2014

Teh Tarik Talk..nasib engkaulah minyak!

Ibu bapa dan guru dijemput ke sesi Teh Tarik tersebut yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 15 Februari 2014 (Sabtu)
Tempat: Bilik Mesyuarat SKTPP2
Masa: 10.00 pagi




Sesi teh tarik berkonsepkan suasana santai ini akan mengketengahkan perihal asal-usul petroleum, teknologi dan masa hadapan industri minyak dan gas melalui pendekatan yang mudah difahami.

Datanglah beramai-ramai untuk menimba ilmu - YDP