16 May, 2014

SELAMAT HARI GURU KEPADA WARGA PENDIDIK SK TAMAN PUTRA PERDANA 2


Menjadi contoh, mencurah ilmu,tak kenal lelah, tak tahu jemu;
itulah cikgu, itulah guru,
besar jasanya sejak dahulu.

Justeru, PIBG Sk Taman Putra Perdana 2 mengambil kesempatan untuk mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada semua guru di sekolah ini.

Cikgu-cikgu yang dikasihi,
Pada bahu kita ini…..
yang digelarkan cikgu
diletakkan seribu harap
oleh ibu bapa yang datang
dengan wajah tersenyum anak-anak dibawa
dengan harapan menggunung disandar jua.

Cikgu, pada bahu ini seorang cikgu
menyaksikan harapan yang tidak kunjung datang
memilih warna yang semakin sukar diadunkan
dan selepas habis segalanya
jiwa raga, semangat nurani, malah diri
diberikan untuk mendidik anak bangsa

dan di hari kejayaan si ibu berkata:
“Anak saya pintar dan rajin….
sebab itulah dia berjaya!”

Dan di hari kegagalan si ibu pun berkata:
“Cikgunya malas-malas belaka …
tidak pandai mengajar….
lantas anak saya gagal!”

Cikgu, Tak apalah cikgu…….
semua mereka itu anak-anak orang
cikgu hanya menumpang tuah kiranya
suatu masa nanti bangsa ini dapat bangun
berdiri megah dengan anak watan
dan perjuangan cikgu tidak pernah kan padam
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru.

Pengiktirafan ini menandakan harapan dan kepercayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Anak-anak murid yang dikasihi,
Kerana anda jadi pelajar,
Jangan malas hendak belajar,

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,
Tidak hairan kalau kecewa.

Masa itu emas dan wang,
Walau sedikit jangan dibuang.

Masa berlalu terlalu pantas,
Orang yang lalai akan dicantas.

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, PIBG ingin mengajak warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?

Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Gurindam Guru Sejati
Guru sejati muhasabah diri,
Bijak bertindak dan berdikari.

Guru sejati senyum mesra,
Sentiasa menggunakan budi bicara.
Senyuman dipapar menawan hati,
Tutur katanya penuh bererti.

Guru sejati guru berkualiti,
Gigih mengajar sepenuh hati.
Rela berkorban apa sahaja,
Kurang cakap banyak bekerja.

Guru sejati umpama lebah,
Menebar ilmu sabar tabah.
Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.

Marahnya sayang bencinya kasih,
Mulutnya manis hatinya bersih.
Guru sejati sentiasa proaktif,
Tenang tenteram berfikiran positif.

Guru sejati guru bestari,
Hidup bermotivasi jati diri.
Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi. Hidup tidak selalu indah, tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU.
“GURU : PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”
TERIMA KASIH CIKGU.

Ingatan tulus ikhlas daripada YDP, NYDP dan semua AJK PIBG 2014/15

No comments: