02 January, 2013

Selamat Tahun Baru 2013!

Barisan AJK PIBG mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua warga pendidik, ibu bapa dan murid SKTPP2. Semoga 2013 ini lebih cemerlang daripada tahun sebelumnya.

Tahun 2012 menyaksikan 20 orang murid kita mendapat 5A dalam UPSR berbanding dengan 14 orang murid pada tahun 2011.Kecemerlangan dalam bidang sukan dan ko-kurikulum 2012 juga telah melonjakkan lagi nama SKTPP2. Tahniah buat semua!

Pada tahun ini, SKTPP2 akan diterajui oleh Guru Besar yang baru menggantikan Cikgu Zohri Bin Saluki. Bersama-samalah kita memberikan sokongan dan kerjasama kepada kepimpinan beliau.

Kepada semua murid tahun 1 2013, selamat menempuh alam persekolahan!

Kepada ibu bapa yang baru menjadi warga SKTPP2, berilah kerjasama dan libatkan diri anda di dalam mana-mana aktiviti anjuran sekolah dan PIBG!
,
Kepada semua guru baru SKTPP2, selamat datang dan curahkanlah bakti dengan seikhlas hati!

Buat julung kalinya, SKTPP2 bersama dengan PIBG akan menjadi hos kepada majlis Sambutan Maulidur Rasul 1434H peringkat Taman Putra Perdana. Majlis yang akan diserikan dengan perarakan, persembahan nasyid dan qasidah serta ceramah ini dijangkakan berlangsung pada 3 Februari 2013. Semua dijemput hadir!

Tanamkan Azam, SELAMAT TAHUN BARU 2013!

16 November, 2012

Salam Maal Hijrah, Cuti, Peperiksaan dan Keputusan UPSR 2012

Cuti sekolah sudah pun bermula. Ujian dan Peperiksaan sekolah rendah telah pun selesai malah pihak sekolah baru-baru ini telah pun menganjurkan Hari Anugerah Cemerlang bagi mengiktiraf pencapaian murid dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum.

Musim cuti sekolah sebegini, besarlah harapan semoga ibu bapa dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Banyak program ilmiah, kem cuti sekolah dan motivasi yang dianjurkan oleh komuniti, masjid atau pun pihak sekolah. Jangan lepaskan peluang untuk menyertainya.

Tahniah kepada semua pihak yang telah manjayakan Hari Anugerah Cemerlang kali ke-3 yang telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Mahmud Bin Karim, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

Berkenalan dengan Tn. Hj. Mahmud, mengimbau kembali betapa murninya profesion perguruan suatu ketika dahulu. Secara peribadi, saya menganggap beliau sebagai seorang guru mithali yang kini memikul mandat sebagai pemimpin kepada 60,000 orang guru di negeri Selangor.

Apa yang boleh saya simpulkan daripada ucapan beliau semasa majlis tersebut ialah:

1. Murid mesti sentiasa kenang jasa guru, ibu dan bapa. Selalulah ucapkan "terima kasih" kepada mereka. Tanpa mereka, siapalah kita.

2. Ibu dan bapa perlu mengetahui minat dan kecenderungan anak kerana tidak semuanya cemerlang dalam akademik tetapi mungkin cemerlang seni, sukan dan kemahiran. Kini, peluang untuk ke sekolah-sekolah seni, sukan dan kemahiran terbuka luas. Jangan terlalu "memaksa" anak untuk mengejar A dalam akademik semata-mata.

3. Sekali menjadi guru, selamanya guru. Begitulah dalamnya falsafah peribadi untuk menjadi seorang guru berketrampilan yang bukan didorong dengan ganjaran, wang ringgit dan pujian. Didiklah anak bangsa seikhlas mungkin, ROI (return on investment)nya besar di akhirat!

4. Ibu bapa dan komuniti mestilah selalu bekerjasama dan lebih terbuka menangani segala bentuk cabaran dan permasalahan yang mendatang.

Sikap keterbukaan dan jiwa perguruan yang kental yang ditonjolkan oleh Tn. Hj. Mahmud ini perlulah menjadi contoh semua pihak bagi memastikan kecemerlangan sekolah yang kita sayangi ini.

Keputusan UPSR yang bakal diumumkan pada tanggal 19 November 2012 ini, sekali lagi akan menjadi kayu pengukur kejayaan sekolah. Secara tidak langsung ia juga mencerminkan sejauh mana kita sebagai warga pendidik dan ibu bapa bersama-sama komited melunaskan tanggungjawab kita masing-masing terhadap anak dan sekolah.

Salam Maal Hijrah 1434!

04 September, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Selamat Hari Merdeka, Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR

Mungkin tidak terlambat pihak kami, barisan AJK PIBG, menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada seluruh warga SK Taman Putra Perdana 2 termasuk staf, murid dan ibu bapa.

Ucapan SELAMAT HARI MERDEKA ke-55 juga ditujukan kepada kita semua, semoga perpaduan di antara kita tetap utuh dan sentiasa mengangkat martabat negara kita yang tercinta ini.

AJK PIBG juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR kepada semua murid tahun 6. Kami mendoakan semoga penat lelah adik-adik termasuk staf, guru dan ibu bapa membuahkan hasil yang cemerlang.

14 May, 2012

Selamat Hari Guru! Cikgu...

Mungkin kita semua boleh mengimbas kembali detik-detik manis semasa zaman persekolahan dahulu. Mungkin kita pernah dirotan, dicubit dan tidak kurang juga dipuji, di beri hadiah dan sebagainya. Biar apa pun, yang pastinya, tanpa mereka kita tidaklah mampu mencapai tahap seperti yang kita kecapi sekarang ini. Selamat Hari Guru! Cikgu...



Guru juga manusia biasa seperti kita yang mempunyai perasaan dan emosi serta tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Malah, dewasa ini bidang perguruan semakin mencabar kewibawaan guru. Mereka terpaksa menangani setiap bebanan dan permasalahan kerja dan pada masa yang sama terpaksa menumpukan perhatian terhadap kecemerlangan anak didik mereka dengan lebih berhati-hati dan profesional. Silap sahaja langkah, maka ia akan mengundang pelbagai prasangka.

Sebaliknya, kita sebagai ibu bapa perlulah menghormati, memberi ruang dan peluang kepada guru untuk mengasah bakat anak-anak kita hingga berjaya. Pada masa yang sama, kita haruslah membudayakan sikap keterbukaan dan selalu berjumpa dengan guru-guru bagi menjayakan setiap aspirasi dan aktiviti sekolah. Hanya dengan terjalinnya hubungan kemesraan ini, secara tidak langsung akan mendorong anak-anak kita untuk menimba ilmu pengetahuan dan bersemangat ke sekolah.

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"

Hari yang penuh makna ini,PIBG buat pertama kalinya mewujudkan Anugerah PIBG - Guru Paling Popular kategori Lelaki dan Perempuan untuk kedua-dua sesi pagi dan petang. Semua pelajar diberi peluang mencalonkan guru paling popular mereka dan keputusan hanya akan diketahui pada 16 Mei 2012.

Sempena Hari Guru 16 Mei ini, saya mewakili semua ibu bapa dan penjaga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik SK Taman Putra Perdana 2. Semoga perjuangan dan pengorbanan cikgu-cikgu akan sentiasa diberkati Allah swt. Berinovatiflah, agar pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang cikgu laksanakan, sentiasa mendapat perhatian pelajar dan menaikkan nama sekolah kita, insyaAllah.

YDP & AJK PIBG 2012/13

10 April, 2012

Mesyuarat PIBG Kali Ke-2

Mesyuarat telah diadakan pada 23 Mac 2012 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Sekolah pada pukul 8.00 malam. Beberapa aktiviti tambahan telah dirancang selain daripada aktiviti yang tersenarai sebelum ini.

1. Hari Guru - 16 Mei
2. Hari Gotong Royong Sedunia - 16 Jun
3. Majlis Makam Malam - 30 Jun
4. Program Jom Pi Sekolah - akan ditentukan kelak

Bayaran PIBG

a). Surat makluman bayaran PIBG telah diedarkan dan seramai 592 daripada jumlah keseluruhan 1072 keluarga telah membuat bayaran. Surat makluman kali kedua diedarkan pada awal bulan April.
b). AJK bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran kepada 13 orang anak Yatim At-taqwa serta menyemak senarai keluarga yang miskin untuk dikecualikan daripada bayaran PIBG.

Perbelanjaan PIBG (mulai 18 Feb hingga 22 Mac)

a). Aktiviti Panitia Agama Islam - RM500
b). Surat-surat Edaran - RM171

Prasarana Sekolah

a). Perkara kritikal yang akan diberi perhatian ialah menaiktaraf susur pejalan kaki di hadapan sekolah dan kantin serta membaiki bucu anak tangga sekolah yang telah tanggal.

b). Melantik Warden Trafik Sekolah bagi mengawal lalu lintas murid semasa waktu pergi dan pulang dari sekolah.

Sumbangan dan Dana PIBG

a). PIBG telah menerima insentif Perdana Menteri pada Majlis Perhimpunan Bersama Rakyat 18 Mac lalu, sebanyak RM3000 dan akan dibayar melalui Pejabat Pelajaran Daerah.
b). Sebuah projektor multimedia telah disumbangkan oleh salah seorang AJK PIBG iaitu En. Hussein Bin Sulaiman pada 23 Februari lalu.
c). Makan minum untuk mesyuarat kali ini disumbangkan oleh En. Amerol Hamzah Bin Said, NYDP PIBG.
d). YDP PIBG menyumbang RM50 untuk kerja kesetiausahawan PIBG untuk bulan Februari dan Mac.

Sekiranya tuan/puan atau syarikat tempat tuan/puan bekerja ingin menyumbang kepada dana PIBG sekolah, sila berhubung terus dengan mana-mana AJK PIBG sekolah. Surat memohon sumbangan dana telah pun disediakan untuk tujuan tersebut.