07 November, 2014

Jom ramai-ramai ke Karnival Usahawan SKTPP2!

Karnival Keusahawanan anjuran PIBG SKTPP2 2014

Tarikh: 8/11/2014 (Sabtu)
Masa : 8.00pg - 2.30ptg
Tempat: Perkarangan SKTPP2


Datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan karnival.
Pelbagai gerai jualan dan permainan akan diadakan sempena karnival tersebut.
Jom kita menjamu selera sambil menyaksikan anak-anak cilik SKTPP2.

08 September, 2014

Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat kali ke-2 (UPSR)

Alhamdulillah majlis telah berjalan dengan jayanya semoga semua calon UPSR 2014 SKTPP2 memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu bapa, penjaga, guru-guru dan ajk PIBG/KSIB yang hadir menjayakannya - En. Idris Hussain, YDP.

Gambar-gambar semasa majlis..


serta trofi kejayaan PIBG sekolah..

19 May, 2014

Gambar-gambar sekitar Program BOOST (Siri 1)

Basic hands-On Offerings in Science and Technology atau singkatannya, BOOST untuk ibu bapa SKTPP2!

Ramai ibu bapa yang terlepas peluang berseronok sambil menimba ilmu di dalam program BOOST anjuran PIBG ini. Kemungkinan ramai yang sibuk bekerja atau terlepas pandang peri pentingnya untuk kita sebagai ibu bapa meluangkan masa bersama PIBG dan ibu bapa yang lain di sekolah.

Walau bagaimanapun, nantikan ulangan program BOOST pada masa terdekat dan rasailah kemeriahannya!



Apa kata mereka?

Saya berpendapat program BOOST ini..

"Sangat bagus, menarik!"

" Sangat membantu kepada ibu bapa berkongsi bersama anak-anak di rumah berbincang perkembangan tentang sains dan matematik"

"Pelajar lebih suka dengan pembelajaran dilakukan secara praktikal"

"Saya setuju untuk kebaikan anak-anak di SKTPP2. Bagi memupuk minat anak mempelajari sains dan matematik. Kita berkongsi minat anak-anak. Berbincang dengan guru-guru harus."

"Sangat bagus tapi mesti melibatkan semua ibu bapa. Maklumat tidak sampai kepada ramai ibu bapa."


Catatan daripada, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa - KSIB PIBG SKTPP2

16 May, 2014

SELAMAT HARI GURU KEPADA WARGA PENDIDIK SK TAMAN PUTRA PERDANA 2


Menjadi contoh, mencurah ilmu,tak kenal lelah, tak tahu jemu;
itulah cikgu, itulah guru,
besar jasanya sejak dahulu.

Justeru, PIBG Sk Taman Putra Perdana 2 mengambil kesempatan untuk mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada semua guru di sekolah ini.

Cikgu-cikgu yang dikasihi,
Pada bahu kita ini…..
yang digelarkan cikgu
diletakkan seribu harap
oleh ibu bapa yang datang
dengan wajah tersenyum anak-anak dibawa
dengan harapan menggunung disandar jua.

Cikgu, pada bahu ini seorang cikgu
menyaksikan harapan yang tidak kunjung datang
memilih warna yang semakin sukar diadunkan
dan selepas habis segalanya
jiwa raga, semangat nurani, malah diri
diberikan untuk mendidik anak bangsa

dan di hari kejayaan si ibu berkata:
“Anak saya pintar dan rajin….
sebab itulah dia berjaya!”

Dan di hari kegagalan si ibu pun berkata:
“Cikgunya malas-malas belaka …
tidak pandai mengajar….
lantas anak saya gagal!”

Cikgu, Tak apalah cikgu…….
semua mereka itu anak-anak orang
cikgu hanya menumpang tuah kiranya
suatu masa nanti bangsa ini dapat bangun
berdiri megah dengan anak watan
dan perjuangan cikgu tidak pernah kan padam
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru.

Pengiktirafan ini menandakan harapan dan kepercayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Anak-anak murid yang dikasihi,
Kerana anda jadi pelajar,
Jangan malas hendak belajar,

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,
Tidak hairan kalau kecewa.

Masa itu emas dan wang,
Walau sedikit jangan dibuang.

Masa berlalu terlalu pantas,
Orang yang lalai akan dicantas.

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, PIBG ingin mengajak warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?

Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Gurindam Guru Sejati
Guru sejati muhasabah diri,
Bijak bertindak dan berdikari.

Guru sejati senyum mesra,
Sentiasa menggunakan budi bicara.
Senyuman dipapar menawan hati,
Tutur katanya penuh bererti.

Guru sejati guru berkualiti,
Gigih mengajar sepenuh hati.
Rela berkorban apa sahaja,
Kurang cakap banyak bekerja.

Guru sejati umpama lebah,
Menebar ilmu sabar tabah.
Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.

Marahnya sayang bencinya kasih,
Mulutnya manis hatinya bersih.
Guru sejati sentiasa proaktif,
Tenang tenteram berfikiran positif.

Guru sejati guru bestari,
Hidup bermotivasi jati diri.
Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi. Hidup tidak selalu indah, tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU.
“GURU : PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”
TERIMA KASIH CIKGU.

Ingatan tulus ikhlas daripada YDP, NYDP dan semua AJK PIBG 2014/15

14 May, 2014

Basic hands-On Offerings in Science and Technology (BOOST) untuk Ibu Bapa

Ibu bapa dan penjaga yang berkebolehan menarik minat anak-anak terhadap mata pelajaran yang dipelajarinya amatlah penting. Walau bagaimanapun, ramai di antara kita yang kurang mahir mengenai topik-topik di dalam bidang sains dan teknologi. Apatah lagi dengan kesibukan masa bekerja ibu bapa maka peranan untuk memupuk minat anak-anak di dalam bidang kritikal ini kian menghakis.

Oleh sebab itu, program BOOST atau dikenali sebagai Basic hands-On Offerings in Science and Technology (for parents) diperkenalkan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) PIBG SKTPP2.

Program BOOST ini akan memperkenalkan kepada ibu bapa mengenai kaedah-kaedah dan kefahaman tentang fenomena semulajadi alam sekeliling dan ciptaan manusia yang bersangkut-paut dengan sains dan teknologi.

Ibu bapa akan didedahkan kepada alatan ringkas dan mudah didapati di dalam kehidupan seharian bagi meneroka keajaiban sains dan teknologi secara santai dan seronok. Secara tidak langsung, aktiviti secara interaktif ini akan membuatkan ibu bapa bertambah yakin untuk membimbing dan mendorong anak-anak mereka di dalam mata pelajaran kritikal seperti sains dan matematik.

Siri pertama BOOST akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 17 Mei 2014 (Sabtu)
Masa: 10.00 pagi hingga 11.00 pagi
Tempat: Bilik Mesyuarat SKTPP2


Tempat adalah terhad. Sila berhubung terus dengan En Mohd Faiz Mat Isa, 019-2104341, bagi mengesahkan penyertaan. Bayaran RM10 dibuat semasa aktiviti.